IKLAN KAMI DI MUDAH.MY

Monday, October 26, 2009

Tekno Tani: RM2 juta sebulan jual ayam


Berita Harian, 20 Jul 2007

BERMULA dengan menjual 10 ekor ayam di pasar malam kira-kira 15 tahun lalu, Abdul Kadir Bakar kini muncul sebagai penjual dan pembekal ayam terkemuka di wilayah utara dengan purata jualan 12,000 ekor sehari.

Ketika memulakan kerja sebagai penjual ayam, beliau yang tiada modal dan terpaksa berhutang membeli 10 ekor ayam dan melunaskan hutang itu selepas berjaya menjualnya.

Menerusi syarikatnya, Prodinamik Enterprise Sdn Bhd, Abdul Kadir, 44, kini menjadi pembekal ayam di utara Semenanjung dan juga Kuala Lipis, Pahang, dengan perolehan kira-kira RM2 juta sebulan. Bukan itu saja, beliau juga mempunyai ladang ternakan ayam dan kilang memproses ayam.

Anak kelahiran perkampungan nelayan Kuala Muda, Seberang Prai Utara (SPU) itu yang terpaksa berkorban untuk berjaya, kini boleh tersenyum lebar kerana usaha dan pengorbanannya tidak sia-sia.

Bapa kepada 14 anak yang hanya berkelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), kini menjadi payung kepada 120 pekerja, selain peniaga lain dan pasar raya yang mendapat bekalan daripada syarikatnya.

“Perniagaan membuat saya terpaksa berhutang merata, tetapi mungkin sikap kejujuran sepanjang berniaga, membolehkan saya melalui segala dugaan,” katanya.

Mengimbau pembabitannya dalam bidang perniagaan, Abdul Kadir terdedah kepada dunia perniagaan sejak berusia tujuh tahun kerana bapanya mempunyai sebuah kedai runcit. Pendedahan awal itu banyak mempengaruhinya serta memberi semangat untuk berniaga sendiri.

Dengan penguasaan dalam bidang akademik yang kurang menyerlah, Abdul Kadir bertekad untuk berniaga. Berbekalkan sikap jujur dan amanah dalam perniagaan, Abdul Kadir memulakan perniagaan ayam secara kecil-kecilan, walaupun tiada modal.
Tetapi, ia tidak menghalangnya meneruskan hasrat itu. Abdul Kadir memulakan perniagaan dengan membeli 10 ekor ayam secara hutang untuk dijual di pasar malam.

Ketika itu, beliau bukannya mendapat bekalan ayam siap proses, tetapi ayam hidup. Malah, ayam itu terpaksa ditangkap, disembelih dan diproses sendiri sebelum memasarkannya di pasar malam.

“Saya memulakan perniagaan dengan berhutang dan apabila dapat menjual ayam itu, saya menjelaskan hutang,” katanya yang tidak patah semangat, walaupun tiada modal.

Dengan sekelumit pengetahuan dan pengalaman hasil didikan bapanya dalam bidang perniagaan, beliau meneruskan perniagaan menjual ayam proses di beberapa pasar malam sekitar Pendang, Kedah.

Beliau yang sudah masak dengan urusan jual beli dan kerenah pelanggan yang rencam, mengakui dalam perniagaan tiada jalan pintas menuju kejayaan. Bersandarkan kepada keyakinan bidang perniagaannya akan berkembang, beliau terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi.

Tidak lama kemudian, Abdul Kadir membeli sebuah van usang berharga RM950 bagi memudahkan aktiviti perniagaannya yang semakin berkembang, selain menyewa tanah untuk dibina bangunan ‘ala kadar’ bagi memudahkan kerja pemprosesan ayam.

Rezekinya terus diberkati Allah dan enam tahun lalu, beliau membeli tanah yang menempatkan pejabat perniagaan sekarang dan membina bangunan setara dengan perniagaannya di Lahar Yooi, Tasek Gelugor.
Kini, pulangan perniagaannya jauh berbeza ketika beliau mula-mula menceburi bidang berkenaan. Malah, sebahagian ahli keluarganya turut membantu perniagaannya.

Abdul Kadir selaku Pengarah Urusan syarikat, kini seakan-akan membina empayar perniagaan ayam proses kerana mendominasi bekalan bagi kawasan utara Semenanjung. Syarikat itu membekalkan ayam proses kepada kira-kira 70 gerai meliputi utara Semenanjung, khususnya Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Anugerah Usahawan Melayu Pulau Pinang sempena sambutan ulang tahun penubuhan Umno, tahun lalu.

Abdul Kadir juga memulakan ladang penternakan ayam bagi menampung pembekalan ternakan itu, tetapi kurang berjaya kerana kenaikan harga dedak dan usaha itu masih diteruskan. Ladang ternakan itu diusahakan di Perlis dengan usaha sama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di kawasan seluas dua hektar dan Kuala Ketil seluas empat hektar, tiga tahun lalu.

“Kami masih mengusahakan penternakan ini, tetapi belum bercadang memperluaskannya. Mungkin pada masa depan, kita menjadikan ia sebagai teras perniagaan,” katanya yang bangga dengan kejayaannya.

7 comments:

  1. salam..sy ingin memulakan perniagaan menjual ayam. Boleh sy mintak tunjuk ajar..?

    ReplyDelete
  2. salam..sy ingin memulakan perniagaan menjual ayam. Boleh sy mintak tunjuk ajar..?

    ReplyDelete
  3. sy ingin mendapat bekalan ayam daging serta ayam pencen (ayam tua)...anda boleh membantu kami

    ReplyDelete
  4. menarik perjalanan tuan..ingin belajar juga dari tuan

    ReplyDelete
  5. Salam, saya sedang menjalankan perniagaan ayam hidup. Tetapi kawasan tempat saya bekalan anak ayam itu sukar didapati kerana permintaan sangat tinggi. Sekiranya tuan dpt luaskan pasaran ke tempat saya adalah sangat berbesar hati..

    Ini no telefon sy 014 6502575 michels sandakan sabah

    ReplyDelete
  6. Orang yang bertanya dari tahun 2011 pun tak aada reply .....haha..sibuk ma 2juta sebulan..sapa mau layan..

    ReplyDelete
  7. Saya Dari kedah..dn jg seorang peniaga Ayam goreng.. Bagaimana utk Sy dapatkan bekalan Ayam Proses Dan klau Ada no tel lg murah utk berurusan

    ReplyDelete